Translate

Tuesday, May 14, 2019

TFC I sedia jinakkan Tok Gajah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) berazam untuk mempertahankan kelebihan agregat dimiliki dan tidak akan sesekali memberi ruang kepada Pahang untuk membuat kebangkitan semula pada aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau sedar Pahang mungkin teruja untuk mengikut jejak dua kelab Inggeris Liverpool dan Tottenham Hotspur menyingkirkan lawan ma­sing-masing pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah biarpun ketinggalan agregat.

“Kita tidak mahu terpe­rangkap dengan bermain secara bertahan pada aksi suku akhir kedua Piala FA malam esok (ini) hanya semata-mata mahu mempertahankan ke­lebihan agregat dimiliki.

“Sebaliknya saya telah mengarahkan anak buah saya terus menggempur kubu lawan dari minit pertama lagi bagi memperoleh kemenangan mutlak walau pun terpaksa berhadapan dengan ribuan penyokong tegar Pahang,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan Bakti berkata, prinsip menyerang adalah cara bertahan terbaik merupakan falsafah bola sepak diamalkannya dan ia akan terus diterapkan pada aksi menentang skuad Tok Gajah malam ini.

Begitupun, jurulatih berpengalaman itu meminta anak buahnya tetap fokus dan berwaspada kerana skuad kendalian Dollah Salleh itu kini ibarat ‘harimau terluka’ setelah mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

“Kita perlu jaringkan gol seawal mungkin bagi memiliki kelebihan gol di tempat lawan. Sehubungan itu, saya harap barisan serangan terutama penyerang utama, Kipre Tchetche lebih tajam untuk meledak lebih banyak jaringan pada malam esok (ini),” katanya.

Pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu, TFC I telah mencipta kejutan apabila menewaskan Pahang 2-1 sekali gus mencipta kekalahan sulung buat skuad Tok Gajah dalam semua kejohanan pada musim ini.

No comments:

Post a Comment