Translate

Saturday, May 18, 2019

Tugas berat menanti Nafuzi di Temerloh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENGENDALI sementara Terengganu Football Club I (TFC I), Mohamad Nafuzi Zain mengakui tugas mencabar menantinya apabila bertandang ke Stadium Tun Razak, Temerloh menentang Felda United malam ini selepas tiga hari kehilangan nakhoda, Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata, kemenangan amat diperlukan pada aksi Liga Super tersebut bagi mengembalikan moral kem skuad Penyu yang agak berkecamuk pada masa ini ekoran keputusan drastik jurulatih berpengalaman terbabit yang meletak jawatan selain meraih semula kepercayaan penyokong tegar mereka.

"Saya sendiri pun terkejut dengan keputusan (Irfan Bakti) itu ketika pasukan ini sebenarnya masih memerlukan sentuhan 'magisnya' bagi terus memacu pasukan.

"Apa pun, saya terima amanah yang telah diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu untuk mengendalikan TFC I dan berjanji akan melakukan terbaik demi meneruskan kesinambungan pembangunan bola sepak negeri yang telah diatur sebelum ini," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohamad Nafuzi memberitahu, secara peribadi dia tidak mempunyai masalah besar untuk membimbing TFC I kerana sudah serasi dengan pemain-pemain daripada skuad yang dibentuknya bersama-sama Irfan Bakti pada tiga musim lalu.

Sehubungan itu, bekas penyerang Terengganu pada era 2000-an tersebut memberi bayangan tidak akan melakukan banyak perubahan besar terhadap struktur pemain dan taktikal skuad Penyu buat masa ini.

"Sebenarnya pasukan ini tidak mempunyai sebarang masalah pun kerana kebanyakan pemain adalah daripada skuad yang menjadi naib juara Piala Malaysia musim lalu dan skuad ini juga yang beraksi ketika kalah 3-5 kepada Petaling Jaya City (PJ City) FC pada empat hari lalu.

"Cuma memang lumrah bola sepak ada turun naiknya, tetapi perkara itu (peletakan jawatan Irfan Bakti) pun telah terjadi dan kita amat menghormati luahan penyokong," katanya.

No comments:

Post a Comment