MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalin kerjasama strategik dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) program laluan khas pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) mulai sesi kemasukan tahun ini.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, selain pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah, ia turut melibatkan golongan Orang Asli dan Orang Kelainan Upaya.
Beliau berkata, program laluan khas bagi kemasukan pelajar isi rumah B40 berkenaan merupakan dasar Kementerian Pendidikan bagi membantu menyambung pelajaran mengubah nasib dan sosio ekonomi keluarga masing-masing.
"Buat permulaan, sebanyak 18 peratus daripada kuota kemasukan pelajar di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di UniSZA diperuntukkan untuk golongan tersebut pada sesi pengambilan kedua pada tahun ini.
"UniSZA menjalin kerjasama dengan YDSM untuk mengumpul data anak-anak dalam kalangan keluarga B40 dari seluruh negeri Terengganu yang layak untuk diserap dalam program laluan khas ini," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan YDSM yang diwakili Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohd.Fadzli Yusof di Istana Badariah di sini hari ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mencemar duli menyaksikan majlis menandatangani MoU terbabit. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment