Translate

Saturday, May 4, 2019

TFC I mahu tebus kekecewaan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club I (TFC I) bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung bagi aksi Liga Super menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) malam ini dengan misi untuk membalas dendam.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, skuad kendaliannya masih terkilan dengan kekalahan 1-2 kepada PKNP FC di laman sendiri pada bulan lalu.

“Bukan mahu menidakkan kemampuan PKNP FC, namun kami tidak sepatutnya tewas pada aksi itu apatah lagi ia merupakan satu-satunya kekalahan yang kami alami di gelanggang sendiri pada musim ini.

“Ia amat mengecewakan saya dan sudah pasti kami bertandang ke Manjung esok (malam ini) de­ngan misi untuk ‘menuntut bela’ atas kekalahan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan Bakti berkata, skuad ken­daliannya yang masih segar de­ngan kejayaan menewaskan Pahang 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA pada Rabu lalu berazam untuk mengekalkan momentum kemenangan yang diraih dalam empat perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Menurut jurulatih berpengalaman tersebut, skuad Penyu mahu membawa pulang tiga mata menerusi pertemuan dengan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu bagi mendekatkan lagi jurang de­ngan kelompok teratas Liga Super.

“Pada masa sama, saya juga telah merangka teknikal dan strategi bagi mengekang PKNP FC daripada terus membuat kejutan seperti yang berlaku pada aksi pusingan pertama Liga Super sebelum ini.

“Berdasarkan analisis saya, pada perlawanan itu, kita telah gagal menyaingi persaingan fizikal yang diterapkan pasukan lawan terutama melibatkan penyerang import mereka, Giancarlo Rodrigues,” katanya.

No comments:

Post a Comment