Translate

Tuesday, May 7, 2019

46.9 peratus peserta mQuit Terengganu berjaya berhenti merokok

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Program Nafas Baru Bermula Ramadan di Terengganu menunjukkan kesan positif dengan 46.9 peratus peserta yang menyertai Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuit) pada tahun lalu berjaya menghentikan tabiat itu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh berkata, ia melibatkan 242 orang daripada 1,501 perokok di negeri ini yang secara sukarela menyertai mQuit sepanjang tahun lalu.

"Kesemua mereka mendapatkan mQuit di 43 klinik kesihatan dan enam hospital di seluruh Terengganu yang menyediakan perkhidmatan itu.

"Seramai 158 peserta mQuit berkenaan yang berjaya berhenti merokok sepanjang tahun lalu itu sebenarnya terdiri daripada kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT)," katanya selepas melancarkan Nafas Baru bermula Ramadan peringkat Terengganu di Bazar Ramadan Kuala Berang di sini semalam.

Terdahulu, beliau dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid melakukan pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan terhadap peniaga bazar Ramadan terbabit.


Mohd. berkata, pihaknya menyasar agar semua kakitangan JKNT yang merokok mendaftar dengan mQuit pada tahun ini dengan sekurang-kurangnya 40 peratus dapat menghentikan tabiat itu pada tahun ini sebagai memberi teladan kepada masyarakat. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment