Translate

Wednesday, May 1, 2019

Sang Penyu mahu jinakkan
 Tok Gajah di Kuala Terengganu

PASUKAN Terengganu FC I (TFC I) tidak gentar untuk berdepan Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, anak-anak buahnya bersedia untuk menjinakkan skuad Tok Gajah sekali gus memperoleh bekalan selesa pada aksi timbal balik di gelanggang lawan pada 10 Mei depan.

“Beraksi di laman sendiri dengan sorakan padu penyokong tegar merupakan azimat terbaik untuk mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Kuantan pada minggu depan.

“Kami tidak gentar dengan reputasi Pahang sebagai juara bertahan Piala FA dan pasukan di tangga kedua Liga Super tersebut,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan Bakti berkata, bukan mustahil untuk menewaskan Pahang walaupun rekod pertemuan tidak memihak kepada skuad kendaliannya musim ini.

Ujar jurulatih berpengalaman tersebut, saingan Piala FA mempunyai keunikan tersendiri dan skuad kendaliannya semakin ghairah untuk meneruskan kemaraan bagi memburu piala berprestij terbabit.

“Bukan mahu menidakkan kehebatan Pahang tetapi saya lihat pasukan jiran itu tidak banyak meningkat sejak kejayaan mereka membelasah anak buah saya 3-0 pada aksi kedua Liga Super pada awal Februari lalu.

“Dollah Salleh (pengendali Pahang) sendiri mengakui pertemuan Liga Super itu (menewaskan TFC I 3-0) merupakan aksi terbaik mereka musim ini,” katanya.

Irfan Bakti berkata, sebagai perbandingan, TFC I kian menunjukkan peningkatan mendadak sejak dua aksi lalu apabila ayam tambatannya, Kipre Tchetche sudah kembali mendapat sentuhan berbisanya.

Tambah beliau, keserasian yang semakin dibina dua lagi pemain import, Lee Andrew Tuck dan Sanjar Shaakhmedov juga dilihat mampu mengimbangi penguasaan bahagian tengah pada aksi suku akhir Piala FA nanti.

No comments:

Post a Comment