Translate

Wednesday, May 1, 2019

Lelaki tampar bini dipenjara setahun

Oleh  MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang suami terpaksa me­nyambut Ramadan di sebalik tirai besi apabila Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atasnya gara-gara menampar pipi isterinya dua minggu lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd. Hafiz Mohamad, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh turut menghadapi pertuduhan lain di mahkamah berasingan iaitu mencederakan anak tirinya yang berusia lapan tahun.

Bagaimanapun, Majistret Noor Mazrinie Mahmood menangguhkan keputusan hukuman pada 13 Mei depan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Hafiz didakwa mencederakan isterinya, Nur Aina Diana Mat Yaman, 32, d­engan menampar pipi wanita itu di rumah mereka di Kampung Alor Atas Tol di sini pada pukul 9 malam, 17 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua di hadapan Majistret Noor Mazrinie pula, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan anak ti­rinya perempuan di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Sek­syen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit  kesalahan bagi setiap pertuduhan terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Nur Aina Diana yang baru selesai mandi ternampak suaminya, Mohd. Hafiz memukul anak perem­puannya hasil perkahwinan terdahulu.

Dia kemudian mempersoalkan tindakan suaminya memukul kanak-kanak tersebut sebelum dibalas dengan tamparan pada pipi.

No comments:

Post a Comment