Translate

Tuesday, May 21, 2019

Penganggur dipenjara 41 bulan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Perbuatan ganas seorang penganggur yang bertindak menikam seorang imam yang sedang membaca al-Quran pada Ahad lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun lima bulan atau 41 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat meme­rintahkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Khairil Nawi, 23, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Khairil yang berasal dari Kampung Bakap Jabi, Jerteh, di sini didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Mohd. Amin Md. Nor, 38, dengan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di dalam Masjid Kampung Apal, Jerteh di sini pada pukul 6.30 petang, 12 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada mana-mana hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohd. Fakhrul Fikri Mokhtar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Muhammad Khairil merayu agar hukuman diringankan kerana tertuduh telah mengaku menyesal atas perbuatannya.

Beliau berkata, Muhammad Khairil mendakwa melakukan perbuatan tersebut di luar sedar kerana dipengaruhi suara bisikan halus.

Rayuan itu bagaimanapun dibantah Pegawai Pendakwa, Inspektor Norkhaizan Ramli yang mengatakan perbuatan tertuduh adalah serius kerana boleh menyebabkan kematian dan ia berlaku di kawasan masjid yang merupakan rumah ibadat.

Kosmo! pada 13 Mei lalu me­laporkan mangsa, Mohd. Amin yang merupakan imam di sebuah surau di Rantau Petronas, Kerteh, Kemaman ditikam sebanyak tujuh kali pada bahagian dada kiri ketika sedang membaca al-Quran sesudah solat Subuh di Masjid Kampung Apal.

Bacaan al-Quran itu didakwa telah mengganggu tidur tertuduh yang menetap di rumah­nya yang terletak kira-kira 100 meter dari masjid itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, tertuduh didapati berada di bawah pe­ngaruh dadah jenis methamphetamine sewaktu kejadian.

No comments:

Post a Comment