Translate

Saturday, May 4, 2019

PROTEGE galak jadi usahawan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Program Profesional Training and Education Growing Entrepreneurs (PROTEGE) Reach-out and Awareness yang merupakan inisiatif beberapa agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) telah menjelajah ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini baru-baru ini.

Ketua Sekretariat PROTEGE, Norashikin Ismail berkata, UniSZA merupakan institusi pengajian tinggi awam kelapan yang dijelajahi pihaknya dalam siri membantu graduan tempatan meningkatkan kebolehpasaran mereka terutama menceburi bidang keusahawanan.

"Kami bekerjasama dengan Pusat Alumni dan Pembangunan Kerjaya UniSZA untuk menganjurkan Hari Kesedaran Kerjaya dan Keusahawanan.

"Program ini menyediakan platform kepada bakal graduan merangka sendiri perjalanan kerjaya masing-masing selepas menamatkan pengajian kelak menerusi perkongsian berguna daripada beberapa tetamu jemputan," katanya kepada pemberita di UniSZA di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada program Hari Kesedaran Kerjaya dan Keusahawanan itu ialah Pengarah Alumni, Keusahawanan dan Jaringan Masyarakat UniSZA, Dr. Roslan Awang, Pengarah Pusat Alumni dan Pembangunan Kerjaya UniSZA, Syed Mohd. Azmi Syed Ab. Rahman serta penyanyi, Sufian Suhaimi.

Norashikin berkata,  PROTEGE yang diperkenalkan sejak tahun 2011 telah berjaya membantu kira-kira 130,000 graduan di seluruh negara untuk mendapatkan pekerjaan menerusi pelbagai latihan keusahawanan dan kebolehpasaran.

Ujar beliau, pihaknya menyasar untuk membantu sekurang-kurangnya 50,000 graduan lagi untuk memasuki pasaran pekerjaan sepanjang tahun ini dan sasaran itu diyakini mampu dicapai kerana setakat empat bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 15,000 graduan telah berjaya dilatih di bawah program PROTEGE tersebut.

"Graduan pada masa kini digalakkan untuk memberanikan diri untuk menceburi bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan sekali gus mencipta pekerjaan sendiri kerana mereka  tidak boleh lagi bergantung harap menjadi pencari kerja semata-mata sedangkan peluang pekerjaan kini dilihat sudah semakin lama semakin mengecil," katanya.

Norashikin menjelaskan fenomena penguncupan peluang pekerjaan dilihat semakin menjadi-jadi sejak awal tahun ini dan ia bukan sahaja berlaku di negara kita sahaja malah di peringkat global.

Begitupun ujarnya, graduan tempatan tidak boleh mudah putus asa membiarkan diri menjadi penganggur namun sebaliknya perlu berani menceburi bidang keusahawanan.

"Ini sudah dibuktikan oleh dua graduan tempatan yang kini bergelar jutawan hanya dengan menjual penapis air dan beroperasi dari rumah sahaja," katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, Hari Kesedaran Kerjaya dan Keusahawanan berkenaan merupakan sebahagian pengisian Karnival Kerjaya UniSZA yang dijangka menawarkan hampir 10,000 pekerjaan kepada graduan berminat pada September depan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kadar kebolehpasaran graduan UniSZA yang mendapat pekerjaan tetap selepas enam bulan bergraduasi telah meningkat kepada 79 peratus pada tahun lalu.

"Antara lepasan universiti ini yang menjadi rebutan majikan ialah daripada bidang perubatan, biosumber dan industri makanan, informatik dan pengkomputeran serta undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Nur Safina Aida Baharum Shah, 20, dari Fakulti Undang-Undang berkata, program PROTEGE telah membuka matanya terhadap peluang besar dalam bidang keusahawanan.

"Sejujurnya sebelum ini saya tidak pernah berminat untuk berniaga walaupun dua ahli keluarga menjual kek secara kecil-kecilan namun pendedahan yang diberikan dalam program ini telah sedikit sebanyak membuka mata saya untuk menjadi usahawan pada masa depan." katanya.

Nurhanisah Haniqah Mat Johan, 23, dari Fakulti Bahasa Inggeris dan Komunikasi pula berkata, pendedahan yang diterimanya sepanjang program tersebut telah memberi ilham kepadanya untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Ujar beliau, perniagaan itu diharap mampu menjadi landasan kepadanya bagi menjana pendapatan lumayan setelah menamatkan pengajian kelak.

Seorang lagi peserta, Farahanis Nabilah Mohd. Aziran, 20, pula berkata, program PROTEGE telah mengubah persepsinya terhadap bidang keusahawanan.

"Selama ini saya fikir bidang keusahawanan memerlukan modal besar sekali gus membuatkan saya takut dan tidak yakin untuk berniaga namun ternyata tanggapan saya silap." katanya.

No comments:

Post a Comment