Translate

Saturday, May 18, 2019

Irfan Bakti letak jawatan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SENTUHAN jurulatih berpengalaman buat pasukan Terengganu Football Club I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim (gambar kecil) berakhir apabila beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta kelmarin.

Keputusan drastik itu diambil berikutan desakan keras peminat TFC I susulan kekalahan memalukan 3-5 kepada pendatang baharu Liga Super, kelab Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada Selasa lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, Irfan Bakti mengambil tanggungjawab di atas kemerosotan prestasi skuad Penyu termasuk kekalahan 0-4 dengan Pahang pada aksi suku kedua Piala FA minggu lalu.

“Ketua jurulatih (Irfan Bakti) mengaku keadaan semasa TFC I yang tidak menentu dan prestasi kurang konsisten telah memohon untuk meletakkan jawatan serta-merta sewaktu mesyuarat post-mortem PBSNT semalam (kelmarin).

“Pihak pengurusan menghormati keputusan nekad tersebut setelah mengambil kira semua aspek,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu semalam.

Tengku Farok Hussin berkata, PBSNT amat menghargai sumbangan besar Irfan Bakti yang  membantu TFC I kembali ke Liga Super selain muncul naib juara Liga Premier 2017 dan seterusnya menjadi naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Beliau memberitahu, tugas mengemudi TFC I akan diambil alih Penolong Ketua Jurulatih, Mohamad Nafuzi Zain buat sementara waktu bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Sementara itu, Irfan Bakti yang dihubungi memberitahu, beliau dilanda demam selepas meletak jawatan dan memohon untuk berehat serta enggan mengulas lanjut berhubung isu peletakan jawatannya.
Kosmo! semalam melaporkan penyokong tegar skuad Penyu hilang sabar berikutan kekalahan mengaibkan TFC I kepada PJ City FC di gelanggang sendiri setelah selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Sebahagian mereka bertindak mengepung pintu pagar Stadium Sultan Ismail Nasi­ruddin Shah kira-kira 45 minit untuk bersemuka dengan Irfan Bakti sebelum disuraikan oleh anggota-anggota polis.

No comments:

Post a Comment