Translate

Tuesday, May 21, 2019

TFC I tidak gopoh cari pengganti

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak akan tergesa-gesa mencari pengganti bagi mengemudi Terengganu FC I (TFC I) yang telah dikosongkan secara mengejut oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim sejak Rabu lalu.

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pengendali sementara, Mohamad Nafuzi Zain berkemungkinan besar akan diberi kepercayaan untuk mengendalikan pasukan dari Pantai Timur itu bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) sehingga akhir musim.

“Kita tidak akan tergesa-gesa mencari calon ketua jurulatih baharu TFC I. Biarlah situasi (dalam kem skuad Penyu) kembali tenang.

“Pengendali sementara, Mohamad Nafuzi akan diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya mengemudi TFC I, kemungkinan besar sehingga akhir musim,” katanya kepada Kosmo! Ahad di Kuala Terengganu semalam.

Tengku Farok berkata, Mohamad Nafuzi bukan asing buat skuad Penyu kerana selain merupakan sebahagian daripada pasukan negeri yang menjuarai Piala FA pada tahun 2001, beliau juga membarisi skuad kejurulatihan TFC I sejak tiga tahun lalu.

Kosmo! kelmarin melaporkan sentuhan Irfan Bakti terhadap TFC I berakhir selepas beliau meletakkan jawatan secara serta-merta berkuat kuasa Rabu lalu sebagai mengambil tanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi skuad Penyu pada saingan Liga Super dan Piala FA.

Keputusan drastik itu diambil berikutan desakan keras peminat skuad Penyu susulan kekalahan memalukan 3-5 kepada pendatang baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC pada Selasa lalu.

Sepanjang mengemudi TFC I buat kali kedua mulai tahun 2017, Irfan Bakti berjaya membantu skuad Penyu kembali ke Liga Super dengan muncul naib juara Liga Premier pada musim pertama kemudian naib juara Piala Malaysia tahun lalu.

No comments:

Post a Comment