Translate

Thursday, May 2, 2019

Piala FA: TFC I menewaskan Pahang 2-1

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) membawa bekalan tipis selepas menewaskan Pahang 2-1 pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Tuan rumah berada di depan menerusi jaringan penyerang, Abdul Malik Mat Ariff yang bijak memanfaatkan hantaran kapten pasukan, Lee Andrew Tuck pada minit ke-6.

Hantaran Lee Tuck sekali lagi membuahkan hasil apabila ayam tambatan skuad Penyu, Kipre Tchetche berjaya melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-27.

Lee Tuck juga hampir meledak gol peribadi namun sepakan percuma yang diambilnya tepat ke dakapan penjaga gawang Pahang, Mohd. Helmi Eliza Elias pada minit ke-34.

Skuad Tok Gajah akhirnya berjaya merapatkan kedudukan selepas tandukan padu penyerang import, Ze Love menewaskan penjaga gol TFC I, Mohd. Suffian Ab. Rahman pada minit ke-57.

Tchetche hampir meledak gol ketiga tuan rumah dan kedua peribadi namun percubaannya berjaya ditepis keluar Mohd. Helmi Eliza pada masa kecederaan.

Terdahulu pada babak pertama, barisan serangan Pahang yang dikemudi penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha agak buntu untuk melepasi keampuhan benteng pertahanan skuad Penyu yang dikemudi pemain import kental, Igor Zonjic.


Kedua-dua pasukan akan bertembung pada aksi suku akhir kedua Piala FA yang dianggap sebagai derbi Pantai Timur di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 10 Mei ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment