Translate

Thursday, May 9, 2019

Meninggal dunia ketika sedang solat Tarawih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang kakitangan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung sewaktu sedang menunaikan solat Tarawih di sebuah surau berhampiran Kem Seri Pantai, Kuala Nerus malam kelmarin.
Abd. Ghani Ngah, 56, yang juga pemandu kepada Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu dikatakan tiba-tiba rebah ketika sedang menunaikan solat sunat tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.

Sewaktu kejadian, Abd. Ghani dan Ibni Amin singgah sebentar ke surau ber­kenaan untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama jemaah lain.

Selepas rebah, mangsa telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus yang terletak tidak jauh dari lokasi tersebut sebelum pegawai perubatan bertugas mengesahkan Abd. Ghani telah meninggal dunia.

Jenazah mang­sa yang menetap di Kampung Tok Nasek, di sini kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat.

Difahamkan Abd. Ghani dan Ibni Amin merancang untuk ke MSNT di Gong Badak, Kuala Nerus yang berletak berhampiran de­ngan surau itu bagi memantau atlet negeri yang sedang melakukan latihan pada bulan Ramadan sebagai persiapan bagi menyertai kejohanan Sukan Malaysia di Johor pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment