Translate

Thursday, May 16, 2019

Penyokong TFC I 'mengamuk'

Mohd. Azli Adlan

KEKALAHAN Terengganu Football Club I (TFC I) yang diaibkan 3-5 oleh kelab Petaling Jaya City FC (PJ City) kelmarin menyebabkan segelintir penyokong tegar skuad Penyu itu mula hilang sabar.

Mereka rata-ratanya sukar menerima hakikat gawang TFC I boleh dibolosi lima kali pada babak kedua biarpun selesa mendahului 3-0 pada 45 minit perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Kemuncaknya, hampir 50 penyokong tersebut bertindak ‘mengepung’ pintu pagar stadium selama lebih 45 minit untuk bersemuka dengan ketua jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim bagi mendapatkan penjelasan berhubung prestasi buruk skuad Penyu terbabit.

Begitu pun, hasrat kumpulan itu yang diketuai Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd. Azmi Wan Ngah tidak kesampaian apabila Irfan Bakti terpaksa mengurungkan diri bersama pemain-pemainnya di bilik persalinan sehingga ke­semua penyokong terbabit bersurai atas nasihat polis.

Wan Mohd. Azmi berkata, penyokong tegar TFC I tidak dapat menerima perubahan permai­­n­an TFC I itu yang secara tiba-tiba berubah 360 darjah pada separuh masa kedua.

“Kita boleh terima kekalahan sebab ia adat permainan, tetapi biarlah logik dan boleh diterima. Sebagai penyokong, kami tidak boleh terima hakikat permainan mereka boleh berubah menjadi teruk secara drastik.

“Saya minta Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu terutama Menteri Besar (Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) selaku Pre­siden melakukan sesuatu termasuk mengadakan dialog de­ngan penyokong untuk memberi penjelasan terhadap kemerosotan ini,” katanya kepada pemberita di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

Sementara itu, Penolong Ke­tua Jurulatih TFC I, Mohd. Nik mengakui Irfan Bakti begitu kecewa dan sukar mempercayai skuad kendaliannya boleh diaibkan di hadapan penyokong sendiri setelah selesa mendahului tiga gol pada babak pertama.

“Pemain-pemain TFC I ha­nya bermain bola pada 45 minit pertama permainan, kemudian mereka mula hilang fokus apabila PJ City mula melakukan tekanan sebaik babak kedua bermula dan berjaya menyamakan kedudukan 3-3 dalam tempoh 12 minit sahaja.

“Kita juga tewas dalam pertarungan fizikal terutama pada benteng pertahanan. Kesemua lima gol dihasilkan pasukan lawan itu adalah berpunca daripada hantaran lintang ditambah lagi dengan kesilapan mudah pemain pertahanan,” katanya.

Pada aksi itu, TFC I pada mulanya selesa menguasai permainan dengan meledak tiga gol menerusi jaringan Kipre Tchetche pada minit (m) ke-11, Mohamad Nabil Ahamd Latpi (m-17) dan Moha­mad Ashari Samsudin (m-19).


Bagaimanapun, prestasi skuad Penyu yang merosot pada babak kedua membolehkan PJ City melakukan kebangkitan menakjubkan menerusi lima ja­ringan oleh Elizue Araujo Batista pada minit ke-48, Pedro Hendrique Gios (m-58 dan 80), Washington Brandao Santos (m-59) dan Mohamad Zamri Pin Ramli (m-77).

No comments:

Post a Comment