Translate

Friday, October 2, 2020

Warga emas meninggal dunia ketika berwirid


SETIU – Hajat seorang warga emas untuk menghadiri majlis tahlil arwah isterinya tidak kesampaian apabila dia tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia di Masjid Al-Amin, Kampung Sungai Lerek, Chalok di sini malam tadi.

Khalid Ahmad, 83, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika sedang berwirid sejurus selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid berkenaan pada pukul 7.15 malam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sebelum kejadian, warga emas itu bersama menantunya, Mohamad Firdaus Ibrahim, 29, singgah ke masjid tersebut untuk bersolat Maghrib berjemaah.

“Mangsa tiba-tiba rebah ketika imam mahu membaca doa selepas selepas berwirid sejurus menunaikan solat Maghrib berjemaah.

“Pengawai perubatan yang melakukan pemeriksaan tidak lama kemudian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga Khalid, Raihan Husin, 31, berkata, sebelum kejadian, arwah datuk saudaranya yang ditemani Mohd. Firdaus dalam perjalanan ke rumah salah seorang menantunya di Chalok Barat di sini untuk menghadiri majlis tahlil arwah isterinya, Meriam Latif.

Jelas Raihan, Meriam meninggal dunia kerana sakit tua pada 26 September lalu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment