Translate

Monday, October 5, 2020

MyESports pentas tajamkan skil

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEJOHANAN MyESports Terengganu anjuran Jabatan Belia dan Sukan negeri menjadi pentas untuk memanaskan badan bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang bakal berlangsung pada tahun depan.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Mohd. Izwandy Ismail berkata, atlet pelapis negeri yang bakal me­nyertai temasya sukan dwitahunan itu merupakan antara 664 peserta kejohanan tersebut yang berlangsung di Kuala Terengganu baru-baru ini.

“Kejohanan MyESports Terengganu ini membolehkan atlet e-Sukan negeri mempertajamkan skil dan kemahiran bagi persiapan menghadapi Sukma Johor tidak lama lagi.

“Sebelum ini persiapan pasukan diakui sedikit terencat berikutan kekurangan penganjuran kejohanan e-Sukan terutama di Terengganu berikutan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Izwandy berkata, MyESports Terengganu mempertandingkan acara Pro Evolution Soccer 2020 (PES 2020) dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) melibatkan kategori individu dan berpasukan.

Tambah beliau, pertandingan akhir kedua-dua acara itu telah disiarkan secara penstriman langsung menerusi Facebook Jabatan Belia dan Sukan Terengganu serta Esports Malaysia Terengganu (EMT).

Mohd. Izwandy berkata, bagi pertandingan PES 2020, PG_JAA memenangi kategori individu manakala ST Santai pula bagi kategori kumpulan.

Jelasnya, Dato Sri Reborn dan ZS Nannine pula masing-masing menjuarai kategori individu dan kumpulan bagi permainan PUBG Mobile.

Sementara itu, atlet e-Sukan Terengganu, Faizal Razali berkata, kejohanan tersebut merupakan medan bagi atlet pelapis Terengganu untuk mengekalkan momentum menjelang Sukma Johor.

“Sudah lama kami tidak bertanding dalam pertandingan e-Sukan sama ada di dalam mahupun luar negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Perge­rakan (PKP).

“Kejohanan ini sangat penting buat kami untuk mengetahui dan memperbaiki kelemahan dan kesilapan sebagai persediaan menghadapi Sukma Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha EMT, Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah berkata, pihaknya berharap MyESportsc Terengganu dapat memberi pendedahan kepada lebih ramai lagi generasi muda negeri itu tentang potensi e-Sukan.

“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan semata-mata. Ia turut mendedahkan tentang di sebalik takbir dan peluang kerjaya yang ditawarkan oleh industri e-Sukan untuk makluman masyarakat setempat,” katanya.

No comments:

Post a Comment