KUALA NERUS - Sekumpulan pemancing berjaya menangkap seekor buaya tembaga yang berkeliaran di Sungai Sentosa berhampiran Kampung Ladang Sentosa, Tepoh di sini kelmarin.
Sebelum tangkapan pada pukul 5.45 petang itu, kaki salah seorang pemancing di kawasan berkenaan hampir disambar buaya yang seberat kira-kira 70 kilogram tersebut.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam Abd. Rahman berkata, sepasukan anggota APM Kuala Nerus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung penangkapan buaya tersebut.
"Haiwan reptilia yang sepanjang kira-kira 2.3 meter itu kemudiannya diserahkan kepada skuad APM Terengganu pada pukul 6.15 petang.
"Kita percaya buaya tembaga itu tersesat memasuki sungai berkenaan daripada habitat asalnya tidak jauh dari sungai tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Che Adam, buaya tembaga tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Beliau berkata, penangkapan buaya tembaga itu pertama kali ditangkap di negeri tersebut dalam tempoh tiga tahun.
"Kali terakhir buaya spesies tembaga ditangkap di negeri ini di Sungai Pengkalan Batu, Bukit Tunggal di sini ada Februari 2017," katanya.
Dalam perkembangan sama, Che Adam menasihat orang ramai terutama pemancing supaya berhati-hati.
"Kita tidak menolak kemungkinan peralihan Monsun Timur Laut menyebabkan haiwan tersebut keluar dari lokasinya untuk mencari habitat baharu.
"Kita sedia maklum, hujan lebat boleh mengakibatkan air bertakung dengan banyak yang menyebabkan habitat haiwan itu terganggu," katanya.
No comments:
Post a Comment