Translate

Monday, October 26, 2020

90 peratus dadah seludup dari sempadan Thailand-Kelantan

BESUT - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berusaha keras untuk menyekat kemasukan dadah dari negara jiran menerusi Perbincangan Kota Bahru bagi mengatasi masalah penagihan dadah yang serius di Pantai Timur.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, berdasarkan statistik, ketiga-tiga negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang berada di kedudukan teratas bilangan penagih dadah di negara ini.

"Sebanyak 90 peratus bekalan dadah terutama pil kuda yang diperoleh di negeri-negeri Pantai Timur diseludup masuk dari negara jiran menerusi Kelantan.

"Kita cuba sekat kemasukan dadah bagi mengurangkan bekalannya di Pantai Timur menerusi pendekatan yang dipanggil Perbincangan Kota Bahru," katanya selepas menghadiri program Bicara Santai bersama warga Besut di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut dekat sini semalam.

Sebuah jawatankuasa khas melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan AADK ditubuhkan menerusi Perbincangan Kota Bahru.

Jawatankuasa itu bertujuan bagi mengekang kemasukan bekalan dadah ke negeri-negeri Pantai Timur menerusi sempadan Thailand-Kelantan.

Menurut Zulkifli, inisiatif tersebut diketuai Ketua Polis Kelantan dan Terengganu.

"Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu juga melancarkan kempen Jihad Dadah bagi memerangi kes pengedaran dan penagihan dadah di negeri tersebut sejak Julai lalu," katanya.

Katanya, AADK juga telah menjalin kerjasama dengan masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan bagi mengurangkan permintaan dadah.

"Pihak kami menyasar untuk memulihkan 155 kawasan berisiko penagihan dadah di seluruh negara termasuk 15 di Terengganu pada tahun hadapan.

Kosmo! 17 Oktober lalu melaporkan AADK mendedahkan Terengganu merupakan negeri tertinggi jumlah penagih dadah iaitu 916 orang daripada 100,000 penduduk berdasarkan rekod pada tahun lalu.

Nisbah kedua penagih dadah tertinggi dicatat di Kelantan (867 orang daripada 100,000 penduduk) dan diikuti Pahang (813 orang daripada 100,000 penduduk).

No comments:

Post a Comment