Translate

Saturday, October 31, 2020

Berarak dalam bot sambil berselawat sempena Maulidur Rasul

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –  Penduduk Kampung Pulau Manis, Serada di sini membuat kelainan dalam sambutan Maulidur Rasul hari ini dengan mengadakan perarakan bot sambil berselawat.

Penyelaras program, Mohd. Rafi Kori berkata, perarakan itu disertai 40 penduduk kampung yang menaiki lima buah bot dengan iringan paluan kompang.

“Idea perarakan bot sambil berselawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad ini timbul berikutan situasi semasa negara yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Selalunya kami melakukan sambutan Maulidur Rasul di kawasan masjid tetapi tahun ini ia disesuaikan dengan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu, yang penting tradisi lama kampung ini masih dikekalkan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Rafi berkata, perarakan bot sambil berselawat diadakan di sekitar Sungai Terengganu berhampiran pusat rekreasi air setempat, Kalang Warisan.

Ujar beliau, walaupun mendapat sambutan menggalakkan, perarakan itu hanya dihadkan kepada 40 orang sahaja bagi mematuhi SOP norma baharu.

“Baki kira-kira  60 penduduk kampung yang lengkap berbusana Melayu pula berselawat di kawasan Kalang Warisan yang terletak di tebing Sungai Terengganu.

“Harapnya pandemik Covid-19 cepat berlalu agar perarakan bot sempena sambutan Maulidur Rasul ini dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan kehadiran pelancong,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment