Translate

Sunday, October 4, 2020

Pelajar baharu UMT terima pelan data percuma untuk pembelajaran dalam talian

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima 12 pelajar yang mendaftar di kolej kediaman institusi pengajian tinggi (IPT) itu hari ini walaupun pendaftaran pelajar secara fizikal untuk sesi kemasukan 2020/21 telah ditangguhkan berkuat kuasa semalam.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, hanya dua daripada 12 pelajar tersebut memilih untuk terus menetap di kolej kediaman disediakan.

“Selain mereka, kolej kediaman UMT masih dihuni oleh 623 pelajar antarabangsa, Asasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), diploma dan sebahagian pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar.

“Selain menyediakan kemudahan kafeteria dan koperasi untuk memudahkan pelajar yang berada di kolej kediaman membeli makanan dan keperluan harian, UMT turut memperuntukkan lebih RM667,000 untuk disalurkan kepada pelajar dalam kalangan golongan asnaf dan B40 (keluarga berpendapatan rendah),” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Aieni berkata, UMT juga menyediakan kemudahan khidmat kaunseling oleh kaunselor bertauliah bagi memastikan kestabilan kesihatan emosi pelajarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, seramai 2,480 atau 94 peratus pelajar baharu yang ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke UMT bagi sesi baharu tersebut telah mendaftar secara dalam talian.

“Minggu Jalinan Mesra dan majlis Ikrar Pelajar Baharu UMT juga telah dilaksanakan secara dalam talian menerusi aplikasi Webex pada 27 September hingga 29 September lalu.

“Pengajian dan Pembelajaran bagi semua program pengajian sehingga 31 Disember ini dibuat secara dalam talian dan UMT telah bekerjasama dengan Yayasan YTL bagi penyediaan inisiatif pelan data percuma kepada pelajar baharu,” katanya.

Nor Aieni berkata, pengurusan UMT juga telah menyalurkan bantuan kepada 300 pelajar kurang berkemampuan yang tidak mempunyai peranti bagi pembelajaran dalam talian terbabit. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment