Translate

Friday, October 9, 2020

Covid-19 : Dua mahkamah syariah, 15 taska Terengganu ditutup

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Terengganu di sini dan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu ditutup sehingga esok bagi kerja-kerja sanitasi.

Ketua Hakim Syariah Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, penutupan
kedua-dua kompleks mahkamah syariah itu selaras dengan mesyuarat penyelarasan yang telah dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar semalam.

Beliau berkata, tiga pegawai dari kedua-dua mahkamah syariah terbabit telah dikenal pasti sebagai kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al Bakri yang disahkan positif Covid-19 pada kelmarin.

“Mereka menghadiri Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara di Sepang yang dirasmikan Datuk Dr. Zulkifli pada 29 September lalu.

“Ketiga-tiganya telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan negatif namun diarahkan melaksanakan kuarantin kendiri di rumah masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Wan Mohd. Zakri memberitahu, semua prosiding termasuk sebutan kes, majlis sulh dan pendaftaran kes di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu telah ditangguhkan sehingga Ahad ini.

Sementara itu, kerajaan negeri Terengganu mengambil keputusan menutup 15 Taska Permata kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di seluruh negeri ini selama seminggu sehingga 13 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kesemua taska terbabit terletak di daerah Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Besut. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment