KUALA NERUS - Kesukaran hidup dihadapi Maimon Yunus, 61, yang kudung kaki kiri bersama 13 anak dan cucunya terus mendapat perhatian.
Keluarga Maimon menerima kunjungan Eastern Pasific Industrial Corporation (EPIC) Berhad yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Saabi Wahab berkata, pihaknya bersimpati dan mengambil tanggungjawab untuk membantu meringankan beban Maimon.
"EPIC memang sentiasa prihatin untuk membantu rakyat negeri ini yang kesusahan.
"Ia sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi program EPIC Cakna dan Prihatin yang dilancarkan sejak tahun tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumah Maimon di Kampung Baru Kubur Timah, Batu Rakit dekat sini semalam.
Beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan, lampin pakai buang, wang tunai dan makanan segera kepada keluarga wanita tersebut.
Sementara itu, Maimon berkata, dia bersyukur dan terharu menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak sejak kisahnya disiarkan Kosmo! pada akhir bulan lalu.
"Alhamdulillah bantuan yang diterima setakat ini saya rasa mencukupi untuk keperluan kami anak-beranak hingga hujung tahun.
"Saya juga dapat kembali membuka gerai menjual satar dan otak-otak sejak dua minggu lalu menggunakan sumbangan orang ramai," katanya.
No comments:
Post a Comment