Translate

Sunday, October 25, 2020

217 penagih tegar Terengganu jalani hukuman jel lebih lama

 


KUALA TERENGGANU - Seramai 217 penagih dadah tegar Terengganu yang melakukan kesalahan berulang telah dikenakan hukuman penjara lebih berat sehingga 13 tahun oleh mahkamah sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata,  kesemua pesalah itu dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C akta sama kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah lebih daripada sekali.

Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan pesalah yang melakukan kesalahan buat kali kedua boleh disabitkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun.

"Hukuman penjara tujuh hingga 13 tahun pula boleh dikenakan sekiranya dia ditangkap atas kesalahan menagih dadah buat kali ketiga dan seterusnya.

"Pendekatan untuk menuduh penagih tegar dengan hukuman lebih berat bagi memastikan mereka berada lebih lama di dalam penjara sekali gus tidak dapat mempengaruhi orang lain di luar," katanya.

Roslee berkata, strategi menghukum penagih tegar dengan lebih berat dirasakan lebih praktikal berbanding menghantar mereka ke pusat pemulihan penagihan narkotik (Puspen).

Jelas beliau, segelintir penagih tegar dikhuatiri akan mempengaruhi penagih baru dan muda ke kancah dadah sewaktu mereka menjalani rawatan pemulihan di Puspen.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslee berkata, sebanyak 519 kes tangkapan atas kesalahan mengedar dadah dan 92 peratus daripadanyadituduh di mahkamah.

"Tiga dadah utama yang dirampas di Terengganu pula ialah pil Yaba (82,053 biji), syabu (5,610.47 gram) dan heroin (2,533.65 gram)," katanya.


No comments:

Post a Comment