BESUT - Penduduk Kampung Pantai, Kuala Besut dekat sini gempar dengan penemuan seekor buaya sepanjang 2.13 meter dipercayai tersesat memasuki kawasan pantai berhampiran perkampungan itu kelmarin.
Buaya itu ditemui pada pukul 1.30 tengah hari oleh seorang penduduk ketika reptilia itu berenang berhampiran gigi air.
Penduduk berkenaan yang ingin dikenali sebagai Amir mendakwa, kelibat buaya tersebut dilihat bermain-main di sekitar pantai berkenaan sejak Isnin lalu.
"Saya ingatkan kayu mati tetapi selepas diamati, ia merupakan seekor buaya dan reptilia itu berjemur kurang dari lima minit di tepi pantai berdekatan belakang rumah saya sebelum berenang semula ke laut arah batu pemecah ombak.
"Saya terus rakam menggunakan telefon bimbit dari jauh sebelum jiran melaporkan penemuannya kepada pihak berkuasa," katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut, Ramlan Ros Wahid berkata, pihaknya mengalami kesukaran untuk menangkap buaya itu kerana ombak besar.
Difahamkan buaya itu ditemui terdampar di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan kira-kira enam kilometer dari Pantai Kuala Besut enam jam kemudian.
No comments:
Post a Comment