Translate

Saturday, October 10, 2020

JHEAT, dua pejabat agama daerah ditutup untuk sanitasi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus yang terletak di Kompleks Seri Iman di sini menutup operasi hari ini untuk kerja-kerja sanitasi.

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshah berkata, penutupan tiga premis itu selama sehari dilaksanakan setelah enam pegawai JHEAT dikenalpasti sebagai kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19 semalam.

“Enam pegawai JHEAT itu telah menghadiri mesyuarat dengan Datuk Seri Zulkifli pada Khamis lalu.

“Mereka telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan kini sedang menunggu keputusan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mat Azmi berkata, pejabat tiga premis itu termasuk kaunter perkhidmatan pelanggan yang terletak dalam satu blok bangunan tersebut telah ditutup selama sehari semalam untuk proses sanitasi.

Kosmo! hari ini melaporkan Zulkifli mengesahkan dirinya sedang menerima rawatan setelah disahkan positif Covid-19.

Beliau juga menyeru orang ramai yang berada pada majlis dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober lalu agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment