Translate

Monday, October 19, 2020

OKU pekak jadi usahawan tani

KUALA TERENGGANU - Sekumpulan 25 orang dari golongan orang kelainan upaya (OKU) kategori kurang pendengaran membukti kemampuan menjadi usahawan tani apabila berjaya mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu.

Presiden Persatuan Orang Pekak Terengganu, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berkata, projek perintis tersebut mendapat tunjuk ajar dan bantuan modal daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Program yang disertai 25 peserta kesemuanya OKU kurang pendengaran termasuk lapan wanita berusia 30 hingga 66 tahun tersebut bertujuan mendedahkan ahli persatuan tersebut dengan pertanian bagi menjana pendapatan," katanya dalam bahasa isyarat ketika ditemui ketika menuai hasil Melon Manis Terengganu tersebut di Batu Burok di sini semalam.

Tengku Arman Harris berkata, mereka yang pertama kali bertani itu mendapat tunjuk ajar penanaman 200 pokok Melon Manis Terengganu secara fertigasi daripada sekumpulan pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT diketuai Dr. Wan Zaliha Wan Sembok.

Menurut beliau,  tanaman Melon Manis Terengganu tersebut sudah boleh dituai dalam tempoh 54 hari sahaja dengan pengeluaran hasil keseluruhan kira-kira 100  kilogram.

"Kami bercadang menjual buah ini dengan harga RM8 sekilogram. Selain itu, kami turut diajar mengusahakan sarang lebah kelulut bagi membantu proses pendebungaan tanaman selain menghasilkan madu.

"Persatuan bercadang untuk membesarkan lagi perusahaan tanaman Melon Manis Terengganu pada masa hadapan termasuk di tanah-tanah milik ahli persatuan," katanya.

Tengku Arman Harris berkata, pihaknya berharap usaha murni tersebut mendapat bantuan modal dan kepakaran daripada pihak berkenaan termasuk kerajaan negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment