Translate

Friday, October 2, 2020

Al-Kahf, permainan interaktif falak

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Sekumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif mencipta permainan interaktif, Kembara Alam Harta Falak (al-Kahf) untuk meningkatkan kefahaman generasi muda tentang ilmu astronomi Islam atau falak.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, permainan al-Kahf juga bertujuan untuk menolak salah faham dan informasi palsu tentang fenomena angkasa lepas yang sering berlegar dalam kalangan masyakarat.

Beliau berkata, banyak informasi palsu di media sosial seperti kononnya bumi ini rata, arah kiblat boleh ditentukan oleh pergerakan matahari dan kemunculan bintang Thuraya petanda pengakhiran wabak Covid-19.

"Kesemua informasi itu cuba mengelirukan masyarakat terutama generasi muda dengan  bersandarkan ayat al-Quran dan hadis yang sebenarnya telah difahami secara cetek dan salah.

"Sehubungan itu, permainan al-Kahf akan memberi penerangan sebenar tentang ilmu falak dengan cara santai lagi menghiburkan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Roslan yang juga mempunyai pengkhususan dalam bidang falak berkata, al-Kahf berkonsep seperti permainan Jutaria yang boleh dimainkan antara dua hingga empat orang tetapi bertemakan astronomi Islam.

"Berbanding Jutaria yang berkonsep pendidikan perniagaan, pemain al-Kahf yang diberi modal sehingga RM4 juta setiap seorang berpeluang membina balai cerap, institusi membuat teleskop sepanjang permainan.

"Pemain akan membaca kad-kad yang memberi fakta menarik tentang ilmu falak. Kad itu juga boleh diimbas menjadi objek tiga dimensi atau memaparkan video berkaitan subjek menerusi teknologi Realiti Terimbuh (AR)," katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, al-Kahf dibangunkan dengan kerjasama pakar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaya (UM) pada tahun lalu.

Beliau berkata, pemainan interaktif astronomi pertama dalam Bahasa Melayu tersebut telah memenangi beberapa pertandingan inovasi peringkat institusi pengajian tinggi tempatan dan menyasar untuk menyertai Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (Itex) yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan November depan.

"Permainan al-Kahf ini juga kini boleh didapati di pasar raya besar terpilih seperti Mydin dan Sabasun dan platform e-dagang, Shopee sejak dua minggu lalu pada harga RM75 sebuah," katanya.


No comments:

Post a Comment