Translate

Monday, October 5, 2020

Guru positif Covid-19, sebuah sekolah rendah Kuala Nerus ditutup

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus telah diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri mulai hari ini selepas salah seorang gurunya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, guru terbabit merupakan salah seorang daripada tiga individu di negeri ini yang disahkan positif Covid-19 hari ini.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu akan melakukan sanitasi menyeluruh ke atas sekolah terbabit.

“Selain itu, 62 murid, 23 guru dan lima kakitangan sokongan sekolah itu yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat guru berkenaan telah menjalani ujian saringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Azimi berkata, semua kontak rapat itu juga telah diletakkan di bawah perintah pengawasan dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, setakat ini, 11 individu termasuk guru terbabit yang positif Covid-19 telah ditempatkan di Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan.

“Saya juga menyeru mana-mana individu di negeri ini yang baru pulang dari Sabah pada masa terdekat berlaku jujur dengan hadir fasiliti kesihatan berhampiran bagi menjalani penilaian risiko Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment