Translate

Sunday, October 25, 2020

Sekat bekalan dadah ke Pantai Timur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengambil pendekatan untuk menyekat kemasukan bekalan dadah dari negara jiran bagi mengatasi masalah penagihan dadah yang serius di Pantai Timur .

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, berdasarkan statistik, ketiga-tiga negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang menduduki kedudukan teratas bilangan penagih dadah di negara ini.

“Sebanyak 90 peratus bekalan dadah terutama pil kuda yang diperoleh di negeri-negeri Pantai Timur ini telah diseludup masuk dari negara jiran menerusi Kelantan.

“Kita cuba sekat kemasukan dadah bagi mengurangkan bekalannya di Pantai Timur menerusi pendekatan yang dipanggil Perbincangan Kota Bahru,” katanya selepas menghadiri program Bicara Santai bersama Komuniti Besut di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut dekat sini hari ini.

Zulkifli berkata, inisiatif agresif menyekat kemasukan bekalan dadah ke negeri-negeri Pantai Timur itu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa yang diketuai Ketua Polis Kelantan dan Terengganu.

Tambah beliau, Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu juga melancarkan kempen Jihad Dadah bagi memerangi kes pengedaran dan penagihan dadah di negeri tersebut sejak bulan Julai lalu.

Kosmo! 18 Oktober lalu melaporkan AADK mendedahkan Terengganu mencatatkan bilangan penagih dadah paling tinggi di negara ini diikuti Kelantan dan Pahang. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment