Translate

Saturday, October 3, 2020

Belasah pencuri pisang sampai mati

 

KUALA TERENGGANU - Seorang pekebun dihukum penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana menyebabkan kenmatian seorang lelaki yang mencuri pisang di kebunnya dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ismail Mohd. Don, 40, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.

Sebelum ini, tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Mohamad dan Che Amir Che Musa berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, Ismail didapati tidak mempunyai niat untuk membunuh mangsa.

Katanya, perbuatan tertuduh memukul mangsa dengan sebatang besi berlaku secara spontan disebabkan rasa marah kerana pisang yang menjadi sumber pendapatannya telah dicuri.

"Tertuduh gagal mengawal perasaan lalu memukul mangsa sebanyak sekali sebelum melemparkan pisang kepadanya (si mati).

"Si mati juga telah mendatangkan provokasi kepada tertuduh. Tiada bukti menunjukkan mereka saling mengenali dan tertuduh mempunyai motif membunuh," katanya.

Hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Disember 2018.

Mengikut pertuduhan, Ismail didakwa menyebabkan kematian Salahuddin Ismail, 48, di luar sebuah rumah di Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang antara pukul 3.15 petang hingga 3.45 petang, 3 Disember 2018.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Ahmad Fadhli Mahmud.

Seramai 15 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes berkenaan.

Kosmo! pada 5 Disember 2018 melaporkan, seorang lelaki me­nemui ajal dalam keadaan me­nyayat hati apabila dia dibelasah sampai mati oleh seorang pekebun dengan tandan pisang dan batang besi pada bahagian kepala.

Mangsa dipercayai mencuri beberapa tandan pisang nangka itu untuk dijual kepada seorang peraih di Kampung Tebakang di sini.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah selepas kepalanya dipercayai dipukul dengan tandan pisang dan batang besi.


No comments:

Post a Comment