Translate

Sunday, October 25, 2020

3 pengurus direman

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tiga pengurus syarikat ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan dakwaan mengemukakan tiga tuntutan palsu bernilai keseluruhan RM8.1 juta kepada sebuah kementerian pada tahun lalu.

Permohonan reman ke atas tiga suspek berusia 29 hingga 57 tahun itu dibenarkan Penolong Pendaftar, Roszita Md. Saad di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret di sini semalam.

Satu sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam mengemukakan dokumen permohonan yang mempunyai butiran palsu berjumlah keseluruhan RM8.1 juta.

Menurut beliau, dokumen permohonan tersebut dihantar tiga suspek di sebuah kementerian semasa menyertai proses tender pembekalan makanan di Terengganu untuk tahun 2019 dan 2020.

"Setiap tiga tender perolehan berkenaan  berjumlah RM2.7 juta. 

"Kesemua suspek ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini antara pukul 4 petang dan 8 malam tadi (kelmarin)," katanya.

Tambah sumber itu, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai tuntutan palsu atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment