Translate

Monday, October 12, 2020

Dari mekanik ke pengusaha jering

 

KUALA TERENGGANU -  Keputusan Ali Ismail, 64, menukar kerjaya daripada mekanik ke pengusaha kudapan tradisional, jering rebus pada empat tahun lalu semakin membuahkan hasil.

Menurut Ali, jering rebus jualannya mendapat permintaan tinggi dan  mampu menjual purata 3,000 keping sehari.

"Saya belajar membuat jering rebus daripada seorang sepupu lelaki saya selepas perniagaan bengkel membaiki kenderaan yang tidak menjadi kira-kira empat tahun lalu.

"Bagaimanapunb, sepupu saya itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya menyebabkan saya meneruskan legasi perusahaan membuat jering rebus," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Belakang Bukit Besar di sini semalam.

Ali memberitahu, beliau mendapat bekalan jering tua daripada peraih sekitar Terengganu dan Kelantan.

Tambah beliau, jering tua yang dibelah dua itu kemudiannya direbus dengan menggunakan dapur kayu selama tiga hari sebelum dimakan.

"Jering tua perlu direbus lama bagi menghilangkan toksik yang boleh menyebabkan kita mengalami sembelit dan kencing tidak lawas jika dimakan dalam kuantiti banyak.

"Berdasarkan petua orang lama, jering yang direbus dengan teknik betul bukan sahaja tidak berbau busuk dan rasa kelat malah mempunyai khasiat melancarkan sistem pencernaan dan mengawal kadar gula dalam darah," katanya.

Ali berkata, beliau menjual jering rebus dengan harga RM3 setiap cawan yang mengandungi antara 15 hingga 20 keping mengikut saiz.

No comments:

Post a Comment