Translate

Saturday, October 10, 2020

APM Terengganu bersedia hadapi musim banjir dengan normal baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu membuat persediaan rapi untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula awal bulan depan.

Pengarah APM Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, operasi bantuan dan penyelamatan pada musim tengkujuh tahun ini dijangka lebih mencabar berikutan penularan pandemik Covid-19 pada masa ini.

“Operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir dan penempatan di pusat pemindahan sementara (PPS) perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) normal baharu.

“Antaranya bilangan mangsa banjir yang mahu dipindahkan dari rumah mereka yang terjejas banjir dengan menggunakan lori perlu dihadkan bagi menjaga penjarakan fizikal,” katanya ketika ditemui selepas memantau latihan penyelamatan di air sebagai persediaan musim tengkujuh di Kalang Warisan, Pulau Manis di sini hari ini.

Che Adam berkata, antara SOP normal baharu lain tersebut ialah penyediaan makanan kepada mangsa perlu dilakukan oleh pihak katering selain tidak dibenarkan pelaksanaan solat berjemaah di PPS.

Beliau berkata, bilangan PPS juga sedang disemak semula oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri memandangkan sebahagian dewan kecil tidak lagi sesuai atas faktor penjarakan fizikal.

“Begitupun, saya difahamkan semua SOP normal baharu operasi bantuan dan menyelamat musim banjir ini akan dimuktamadkan di peringkat nasional pada masa terdekat. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment