Translate

Thursday, October 15, 2020

Buaya sesat di pantai Kuala Besut

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Penduduk Kampung Pantai, Kuala Besut dekat sini gempar dengan penemuan seekor buaya yang dipercayai tersesat memasuki kawasan pantai berhampiran perkampungan itu hari ini.

Buaya yang dianggarkan sepanjang 2.13 meter itu dilihat berenang berhampiran gigi pantai berkenaan pada pukul 1.35 petang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut, Ramlan Ros Wahid berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota agensi itu bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung penemuan buaya terbabit.

“Sepasukan anggota APM Besut tiba di lokasi pantai terbabit pada pukul 1.53 petang tadi.

“Kelibat buaya terbabit tidak kelihatan dipercayai sudah berenang meninggalkan kawasan pantai tersebut,” katanya di sini hari ini.

Ramlan Ros berkata, kes buaya berkeliaran itu kemudiannya telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, Perhilitan negeri akan melakukan pemantauan di lokasi pantai berhampiran Kampung Pantai berkenaan untuk mengesan reptilia terbabit agar tidak mengancam keselamatan orang awam.

Terdahulu video penemuan buaya itu yang dirakam seorang penduduk menjadi tular di media sosial dan meraih tontonan lebih 73,000 setakat pukul 8.30 malam tadi.

Sebelum ini seekor buaya sepanjang kira-kira tiga meter pernah ditangkap di kawasan sawah di Kampung Kerandang, Jerteh di sini yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuala Besut pada Februari lalu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment