Translate

Tuesday, October 13, 2020

Pengantin baharu ditemui lemas

BESUT - Seorang buruh yang baru berkahwin dua bulan lalu mati lemas selepas terjatuh ketika sedang menjala ikan di tebing Sungai Besut berhampiran Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut, Kuala Besut kelmarin.

Mangsa, Azman Che Amat, 45, berasal dari Kampung Bukit Mas, Tanah Merah, Kelantan.

Kejadian tersebut disedari isterinya, Noraini Mohd. Nor, 44, pada pukul 3.30 petang hari yang sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata, sebelum kejadian, Azman ditemani Noraini yang baru dikahwini pada bulan Ogos lalu menjala di lokasi kejadian sejak pukul 9 pagi.

"Kejadian berlaku semasa mereka hendak pulang dan Noraini pada ketika itu sedang menyimpan  ikan yang diperolehi di dalam but kereta mereka.

"Wanita itu kemudiannya terdengar orang ramai riuh memaklumkan terdengar bunyi benda terjatuh ke dalam sungai," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohamad berkata, Noraini yang bergegas ke lokasi Azman menjala mendapati kelibat suaminya sudah tiada.

Wanita itu mendapati hanya tinggal selipar dan jala milik suaminya di tebing sungai.

Beliau berkata, wanita tersebut menjerit meminta pertolongan sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak bomba tidak lama kemudian.

"Mayat mangsa ditemui dalam kedalaman hampir tiga meter di dasar sungai dengan bantuan penduduk kampung pada pukul 5.32 petang semalam (kelmarin).

"Mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk dibedah siasat," kata beliau.


No comments:

Post a Comment