Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS - Kesukaran kehidupan Maimon Yunus, 61, yang kudung kaki kiri bersama 13 anak dan cucunya mendapat perhatian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pengarah APM Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, agensi itu yang bersimpati dengan nasib ibu tunggal tersebut telah tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan, kerusi roda dan tilam.
"Saya telah diamanahkan Ketua Pesuruhajaya APM, Datuk Roslan Wahab untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga (Maimon) ini.
"Pengurusan kanan APM di ibu pejabat (Putrajaya) telah tersentuh dengan berita tentang kesukaran hidup keluarga ini yang disiarkan Kosmo! baru-baru telah mengutip derma kilat untuk membantu," katanya ketika ditemui selepas menziarahi Maimon di Kampung Baru Kubur Timah, Batu Rakit dekat sini semalam.
Che Adam berkata, selain menjadi agensi penyelamat dan pengurusan bencana, APM juga sering menjalankan tanggungjawab sosial korporat bagi meringankan beban golongan memerlukan di seluruh negara.
Sementara itu, Maimon bersyukur dan tersentuh dengan keprihatinan APM dan pihak lain yang banyak membantu mereka sekeluarga.
"Saya telah menerima sumbangan hampir RM2,000 setelah kisah keluarga tersiar. Sebahagiannya telah digunakan untuk membaiki kereta Proton Wira peninggalan arwah suami dan membuka semula gerai menjual satar dan otak-otak.
"Budi baik mereka tidak mampu saya balas dan dikenang sehingga ke akhir hayat,"katanya.
Kosmo! 22 September lalu melaporkan kehidupan Maimon sekeluarga menjadi sukar selepas suaminya, Mohd. Abdul Ghani Idris, 69, meninggal dunia kerana barah paru-paru pada Ogos tahun lalu.
Kaki kiri wanita warga emas itu pula terpaksa dipotong akibat komplikasi diabetes.
Mereka sekeluarga yang hilang tempat bergantung sering mengikat perut dan berjimat cermat demi kelangsungan hidup.
No comments:
Post a Comment