Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di buka semula mulai esok selepas ditutup selama dua minggu selepas salah seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19 pada 4 Oktober lalu.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, ia melibatkan tiga kampus universiti awam itu iaitu di Gong Badak di sini; Tembila, Besut dan Perubatan, Kuala Terengganu.
“Ketiga-tiga kampus itu telah disahkan bebas daripada virus Covid-19 dan semua bangunan di dalamnya sudah dinyah cemar sepanjang dua minggu ini.
“Sehubungan itu saya minta kesemua staf UniSZA tidak perlu bimbang untuk kembali bekerja mulai esok,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan amanat kepada warga UniSZA secara dalam talian menerusi platform Webex.
Hassan Basri menasihatkan kakitangannya agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk memakai pelitup muka sewaktu bertugas.
Tambah beliau, staf UniSZA yang sebelum ini menjalani perintah kuarantin wajib dibenarkan untuk bekerja dari rumah dalam tempoh seminggu lagi.
“Begitu juga kakitangan yang tersekat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga dibenarkan bekerja dari rumah.
“Mereka yang terlibat (bekerja dari rumah) perlu mengemaskini status masing-masing setiap hari,” katanya.
Hassan Basri berkata, kakitangan UniSZA yang tersekat di kawasan PKPB masih dibenarkan bekerja di rumah dan perlu mengemaskini status masing-masing setiap hari.
Kosmo! 5 Oktober lalu melaporkan UniSZA ditutup selepas seorang kakitangannya disahkan Covid-19 semalam. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment