Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Wang sebanyak RM791,000 milik seorang guru dari Wakaf Tengah, Kuala Nerus lesap selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam baru-baru ini.
Sumber berkata, mangsa hanya menyedari tertipu apabila akaun bank miliknya hanya tinggal RM208 sebelum membuat laporan berhubung penipuan itu di Balai Polis Kuala Terengganu di sini kelmarin.
Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita tidak dikenali pada 21 Disember tahun lalu yang mendakwa dia masih memiliki pinjaman tertunggak sebanyak RM50,000.
"Talian itu kemudian disambung kononnya ke Balai Polis Seri Kembangan, Selangor. Individu bernama Sarjan Fakrul pula mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 juta.
"Mangsa diarahkan untuk menyewa bilik di sebuah resort di Kuala Nerus kononnya bagi memudahkan proses soal siasat," katanya kepada Kosmo! semalam.
Sumber berkata, sepanjang berada di bilik resort itu, mangsa perlu melaporkan diri kepada seorang lagi suspek kononnya pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman bernama Chong.
Ujarnya, lelaki itu kemudian mengikut arahan supaya membuka akaun baharu di sebuah bank sebelum memindahkan RM400,000 simpanan ASB miliknya kononnya untuk siasatan Bank Negara pada 5 Januari lalu.
"Dia juga telah membuat pembiayaan peribadi sebanyak RM378,000 dari dua buah bank.
"Daripada jumlah itu, RM348,000 dipindahkan ke akaun baharu yang dibuatnya bagi membayar ikat jamin dan modal keupayaan kewangan kononnya arahan sebuah mahkamah di Sabah," katanya.
Sumber berkata, mangsa seterusnya memasukkan lagi RM43,000 ke akaun selepas diarah suspek kononnya ikat jamin tambahan.
"Chong memberitahu, kes itu akan selesai dan bungkusan berisi surat mahkamah dan pembatalan pinjaman bank akan dihantar kepadanya pada 20 Ogos lalu.
"Mangsa menyedari tertipu apabila masih tidak menerima bungkusan itu dan baki akaun banknya tinggal RM208," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment