Translate

Tuesday, October 20, 2020

Suami isteri nyaris maut dihempap pokok tumbang

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kereta jenis Proton Waja dinaiki mereka ditimpa sebatang pokok rhu yang tumbang akibat ribut di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Jambatan Kuala Ibai, Chendering di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 8.24 malam itu menyebabkan pemandu kereta berkenaan yang berusia 37 tahun dan isterinya berumur 39 tahun cedera di bahagian muka dan beberapa amggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke pusat bandar raya ini dari Marang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebatang pokok rhu tiba-tiba tumbang akibat ribut lalu menimpa kereta Proton Waja dinaiki kedua-dua mangsa yang sedang melalui laluan berkenaan.

"Mereka yang cedera di bahagian muka dan beberapa anggota badan telah dibantu beberapa pengguna jalan raya lain yang kebetulan menyaksikan kejadian itu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rozizah berkata, suami isteri berkenaan telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian yang turut menyebabkan kesesakan lalu lintas pada pukul 8.34 malam.

"Kami mengambil masa hampir setengah jam untuk kerja-kerja pembersihan pokok yang tumbang berkenaan," katanya.


No comments:

Post a Comment