Translate

Monday, October 26, 2020

Ibu tunggal diami rumah uzur tanpa bilik air

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kemiskinan memaksa seorang ibu tunggal dan keluarganya menetap di dalam rumah pusaka yang uzur menanti rebah di Kampung Paya Lima Amas di sini.

Tambah menyedihkan, Rohani Mamat, 49, yang menetap bersama ibu, Zainab Ali, 81, dan empat anaknya terpaksa mandi di luar rumah selepas struktur bilik air yang turut tandas runtuh kira-kira dua tahun lalu.

Dia berkata, kehidupan mereka terus diuji apabila ibunya, Zainab yang semakin uzur terlantar setiap masa dan memerlukan perjagaan khas kerana sakit tua.

"Saya dan anak-anak terpaksa mandi luar rumah dan mencari alternatif lain sekiranya mahu membuang air kecil dan besar.

"Cabaran paling besar ialah menguruskan ibu yang uzur dengan ketiadaan bilik air dan tandas ini," katanya ketika diziarahi Setiausaha Politik Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Mohd. Kamal Nazmi Kamaruddin di sini semalam.

Rohani berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan mingguan sebanyak RM150 tidak mampu untuk membaiki bilik air rumah tersebut kerana kesempitan hidup.

Dia memberitahu, anak sulungnya, Mohd. Azizi Mohd. Jani, 31, yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) kurang pendengaran cuba membantu menambah pendapatan keluarga dengan mengambil upah memotong rumput. 

"Dia membuat perkhidmatan memotong rumput dengan caj RM30 selain menerima bantuan pekerja OKU sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

"Kami perlu berjimat cermat untuk menampung kehidupan termasuk menyediakan RM200 sebulan untuk membeli lampin pakai buang untuk ibu," katanya.

Bantuan boleh dihulurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Rohani bernombor 1100141100033050 atau menghubunginya di talian 01112977490.

No comments:

Post a Comment