Translate

Tuesday, October 27, 2020

Lebih 80 rumah di Kuala Nerus rosak teruk dilanda ribut

KUALA NERUS - Lebih 80 rumah di daerah ini mengalami kerosakan akibat dipukul ribut melibatkan kerugian hampir RM200,000 kelmarin.

Kejadian ribut selama kira-kira 10 minit yang membawa bersama angin lintang pada pukul 9 malam tersebut melibatkan 11 kampung di dua mukim iaitu Buluh Gading dan Seberang Takir.

Seorang mangsa, Kamarudin Muda, 50, dari Kampung Banggol Donas di sini berkata, sewaktu kejadian, dia dan sebahagian penduduk kampung berlindung di sebuah warung kopi berhampiran rumahnya.

"Saya mengikut penduduk kampung lain bergotong-royong membersihkan pokok-pokok tumbang yang merentangi jalan raya di sekitar kawasan kampung.

"Sebaik tiba di rumah pada kira-kira pukul 12 tengah malam, saya baru sedar sebahagian besar bahagian dapur dan bilik air rumah saya telah ranap ditimpa tiga batang pokok iaitu getah, nangka dan kelapa," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di sini semalam.

Seorang lagi mangsa, Intan Mashitah Amirudin, 39, dari Kampung Teluk Ketapang Paya di sini pula berkata, dia bersama dan suami dan dua anak mereka berlari menyelamatkan diri dari rumah sewaktu kejadian ribut itu.

"Angin lintang menerbangkan sebahagian besar bumbung di bahagian ruang tamu dan bilik tidur selain membawa batu-batu kecil memasuki rumah.

"Selain 14 atap rumah yang diterbangkan ribut, sebahagian perabot dan barangan elektrik di rumah saya turut rosak akibat ribut itu," katanya 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, tinjauan kerosakan sebahagian rumah penduduk terlibay telah dilakukan pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

"Kami akan menyalurkan bantuan segera untuk membaiki kerosakan terutamanya atap yang dijangka siap dalam tempoh seminggu," katanya.

No comments:

Post a Comment