Translate

Thursday, October 15, 2020

Daftar 115 kad sim guna identiti palsu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha kedai telefon mengaku bersalah atas 115 pertuduhan mendaftarkan kad sim prabayar menggunakan maklumat palsu di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Ng Yean Ping, 33, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Nooriah bagaimanapun menetapkan hari ini sebagai tarikh jatuh hukum. 

Mengikut pertuduhan, Yean Ping didakwa membuat capaian kepada kandungan satu komputer iaitu sistem Multi Channel Portal (MCP) DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) sebelum menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa ke atas kandungan sistem MCP berkenaan.

Tertuduh didakwa telah mendaftarkan kad sim tanpa membuat pengesahan maklumat yang sah pengguna akhir terlebih dulu seperti dikehendaki Digi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Bukit Kecil di sini dari 18 April hingga 10 Jun 2016.

Sabit kesalahan, Yean Ping boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100, 000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Norhani Mohd. Adzhar dan Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Difahamkan kad sim prabayar itu didaftarkan  menggunakan identiti 35 warga asing yang tidak wujud.

Sebahagian kad sim prabayar itu dipercayai digunakan untuk sindiket penipuan ala Macau dan penyebaran berita palsu.

Kosmo! semalam melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM700,000 kepada enam syarikat telekomunikasi pada 1 Oktober lalu atas kesalahan mendaftarkan kad sim prabayar tanpa pengesahan pengguna.

Kesemua kompaun yang dikeluarkan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu mencerminkan ketegasan dan komitmen suruhanjaya itu memastikan proses pendaftaran kad sim prabayar mematuhui garis panduan ditetapkan demi kepentingan pengguna.

No comments:

Post a Comment