Translate

Sunday, October 4, 2020

Kakitangan positif Covid-19, UniSZA ditutup tiga hari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditutup selama tiga hari sehingga Rabu ini selepas seorang kakitangannya disahkan Covid-19 hari ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, semua kakitangan UniSZA juga diarahkan untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan itu.

Beliau memberitahu, ia membolehkan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh dilakukan di seluruh kampus UniSZA iaitu Gong Badak di sini; Tembila, Besut dan Perubatan, Kuala Terengganu.

“Begitupun, kakitangan UniSZA yang bekerja di perkhidmatan perlu seperti keselamatan, kesihatan, kewangan, hal ehwal pelajar dan kolej kediaman dikecualikan daripada arahan bekerja dari rumah itu.

“Kebajikan semua 584 pelajar yang menghuni semua kolej kediaman UniSZA juga sentiasa dijamin. Pengajaran dan pembelajaran tetap diteruskan secara dalam talian sepanjang tempoh tiga hari penutupan kampus ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan Basri menjelaskan, kakitangan UniSZA terlibat dipercayai terdedah dengan Covid-19 setelah menaiki pesawat sama dengan seorang individu yang disahkan positif pandemik tersebut baru-baru ini.

“Kakitangan UniSZA itu menaiki pesawat berkenaan untuk kembali ke Kuala Terengganu setelah menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur manakala individu positif Covid-19 itu pula pulang dari Sabah.

“Beliau telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan kini ditempatkan di Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan setelah disahkan positif Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hassan Basri memberitahu, seramai 14 kakitangan UniSZA lain yang telah dikenalpasti sebagai kontak rapat pesakit itu juga telah ditempatkan di sebuah pusat kuarantin di daerah ini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment