Translate

Friday, October 30, 2020

Cabaran musim bah ketika Covid-19


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TIDAK lama lagi negara bakal dilanda monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh yang membawa risiko banjir terutama di negeri-ne­geri di Pantai Timur termasuk Terengganu.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, permulaan monsun Timur Laut pada tahun ini akan membawa taburan air hujan yang lebih tinggi ekoran fenomena La Nina.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu seperti biasa telah melakukan persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka boleh berlaku seawal pertengahan bulan hadapan.

Begitupun, operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir pada tahun ini sudah pasti berbeza dan mempunyai cabarannya tersendiri ekoran penularan pandemik Covid-19.

Setiausaha Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam Ab. Rahman berkata, beberapa penyesuaian terpaksa dibuat dalam gerak kerja operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir pada tahun ini.

Beliau berkata, bilangan mang­sa banjir dari lokaliti terjejas yang perlu dipindahkan menggunakan lori mahu pun bot terpaksa dihadkan bagi mematuhi penjarakan fizikal.

“Ia memberi cabaran sama ada menerusi penambahan logistik mahu pun tempoh masa operasi yang terpaksa dipanjangkan.

“Keputusan pantas perlu dilakukan sekiranya berlaku situasi cemas yang mengancam nyawa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) juga harus disesuaikan dengan prosedur operasi stan­dard (SOP) baharu.

Ujar beliau, keluasan PPS perlu diambil kira bagi meme­nuhi kapasiti mangsa banjir namun pada masa sama mematuhi setiap SOP.

“Sekiranya bilik darjah digunakan, ia hanya boleh menempatkan maksimum dua keluarga berbanding sekurang-kurangnya empat sebelum ini.

“Bagi PPS di dewan komuniti yang bersaiz kecil, alternatif lain yang boleh digunakan ialah tadika atau rumah,” katanya.

Che Adam berkata, Sekreta­riat Pengurusan Bencana Negeri juga perlu menyediakan satu PPS khas di setiap daerah untuk mang­sa banjir yang disahkan mempunyai gejala Covid-19 atau sedang me­lakukan kuarantin kendiri.

Tambah beliau, kejujuran mangsa banjir sangat penting untuk mengasingkan mereka yang bergejala bagi mengelakkan risiko penularan.

“Selain perlu memakai pelitup muka, penyediaan makanan juga tidak boleh dilakukan secara gotong-royong seperti kebiasaan tetapi secara bungkus yang dimasak oleh pihak katering luar.

“Selain itu, kita juga menghadapi cabaran untuk menempatkan mangsa banjir di sekolah kerana perubahan takwim persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar berkata, pihaknya telah mengenal pasti 568 PPS di seluruh ne­geri ini yang mampu memenuhi kapasiti 135,000 mangsa banjir pada satu-satu masa.

Beliau berkata, 151 PPS tersebut berada di daerah Besut, Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Setiu, Marang, Kuala Terengganu serta Kuala Nerus.

“Kita mempunyai satu depoh simpanan barangan, 17 mini depoh serta 152 pangkalan hadapan. Setakat ini, 6.4 tan barang keperluan harian dan makanan telah dihantar ke lokasi sukar diakses seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian,” katanya.-K! ONLINE

No comments:

Post a Comment