Translate

Friday, October 23, 2020

217 penagih tegar Terengganu jalani hukuman lebih berat

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 217 penagih dadah tegar Terengganu yang melakukan kesalahan berulang telah dikenakan hukuman penjara lebih berat sehingga 13 tahun oleh mahkamah sejak awal tahun ini

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, kesemua pesalah itu dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C akta sama kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah lebih daripada sekali.

Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan pesalah yang melakukan kesalahan buat kali kedua boleh disabitkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun.

“Hukuman penjara tujuh hingga 13 tahun pula boleh dikenakan sekiranya dia ditangkap atas kesalahan menagih dadah buat kali ketiga dan ke atas.

“Pendekatan mendakwa penagih tegar mengikut seksyen yang mengenakan hukuman lebih berat bagi memastikan mereka berada lebih lama di dalam penjara sekali gus tidak dapat mempengaruhi golongan remaja di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan barangan rampasan narkotik untuk pelupusan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.

Ia meliputi dadah pelbagai jenis seperti pil kuda, syabu, heroin, ubat batuk, daun ketum, Erimin 5 dan ecstasy bernilai lebih RM1.59 juta yang telah dirampas di negeri ini sepanjang tahun 2018 dan 2019.

Roslee berkata, strategi menghukum penagih tegar dengan lebih berat dirasakan lebih praktikal berbanding menghantar mereka ke pusat pemulihan penagihan narkotik (Puspen) berulang kali.

Jelas beliau, segelintir penagih tegar itu dikhuatiri akan mempengaruhi penagih baru dan muda untuk terus terjebak dalam kancah dadah sewaktu mereka menjalani rawatan pemulihan di Puspen.

“Sebagai perbandingan, seramai 108 penagih tegar telah dihukum mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sepanjang tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment