KUALA TERENGGANU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu membuat persediaan rapi untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula pada awal bulan depan.
Pengarah APM Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, operasi bantuan dan penyelamatan pada musim tengkujuh tahun ini dijangka lebih mencabar berikutan penularan pandemik Covid-19 pada masa ini.
"Operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir dan penempatan di pusat pemindahan sementara (PPS) perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.
"Bilangan mangsa banjir yang mahu dipindahkan dari rumah mereka yang terjejas banjir dengan menggunakan lori perlu dihadkan bagi menjaga penjarakan fizikal," katanya kepada ditemui di Kalang Warisan, Pulau Manis di sini semalam.
Terdahulu beliau ditemui selepas memantau latihan penyelamatan di air sebagai persediaan musim tengkujuh melibatkan anggota APM Terengganu.
Che Adam berkata, antara SOP normal baharu lain tersebut ialah penyediaan makanan kepada mangsa perlu dilakukan oleh pihak katering selain tidak dibenarkan pelaksanaan solat berjemaah di PPS.
Beliau berkata, bilangan PPS juga sedang disemak semula oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri memandangkan sebahagian dewan kecil tidak lagi sesuai atas faktor penjarakan fizikal.
"Begitupun, saya difahamkan semua SOP normal baharu operasi bantuan dan menyelamat musim banjir ini akan dimuktamadkan di peringkat nasional pada masa terdekat.
"APM Terengganu akan melakukan latihan penuh persediaan operasi itu dengan normal baharu tersebut pada 19 Oktober ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Che Adam berkata, APM negeri telah bersedia untuk menghadapi musim tengkujuh dengan 350 anggota tetap dan sukarela akan digerakkan dalam tempoh selewat-lewatnya enam jam selepas banjir berlaku.
No comments:
Post a Comment