Translate

Sunday, October 11, 2020

Pemancing tangkap buaya tembaga sesat

KUALA NERUS - Sekumpulan pemancing berjaya menangkap seekor buaya tembaga yang berkeliaran di Sungai Sentosa berhampiran Kampung Ladang Sentosa, Tepoh di sini kelmarin.

Sebelum kejadian pada pukul 5.45 petang itu, kaki salah seorang pemancing tersebut hampir disambar buaya yang seberat kira-kira 70 kilogram berkenaan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam Abd. Rahman berkata,  sepasukan anggota APM Kuala Nerus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung penangkapan buaya tersebut.

"Reptilia sepanjang kira-kira 2.3 meter itu kemudiannya diserahkan kepada skuad APM Terengganu pada pukul 6.15 petang.

"Kita percaya buaya tembaga itu tersesat memasuki sungai berkenaan daripada habitat asalnya tidak jauh dari sungai tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Che Adam, buaya tembaga tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.

Beliau berkata, penangkapan buaya tembaga itu pertama kali ditangkap di negeri tersebut dalam tempoh tiga tahun.

"Kali terakhir buaya spesies tembaga ditangkap di negeri ini di Sungai Pengkalan Batu, Bukit Tunggal di sini ada Februari 2017," katanya.

Dalam perkembangan sama, Che Adam menasihat orang ramai  terutama pemancing agar berhati-hati.

"Kita tidak tolak kemungkinan peralihan Monsun Timur Laut menyebabkan haiwan tersebut keluar dari lokasinya untuk mencari habitat baharu.

"Kita sedia maklum, hujan lebat boleh mengakibatkan air bertakung dengan banyak yang menyebabkan habitat haiwan itu terganggu," katanya.


No comments:

Post a Comment