DUNGUN – Tiga beradik perempuan berusia antara enam hingga 10 tahun dikhuatiri lemas selepas mereka ditarik ombak besar di Pantai Teluk Gadung berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sura di sini semalam.
Kejadian pada pukul 6.40 petang itu berlaku ketika mangsa, Nurain Fatma Zawawi, 10, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Salsabila, 6, sedang bermain di gigi pantai terbabit.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga beradik itu pergi ke Pantai Teluk Gadung itu bersama seorang ibu saudaranya untuk beriadah.
“Sewaktu berjalan-jalan di tepi pantai berkenaan, Nurain Sofia dan Nurain Salsabila dikatakan hanyut ke dalam laut selepas ditarik ombak besar yang tiba-tiba datang.
“Nurain Fatma cuba menyelamatkan kedua-dua adiknya namun turut dihanyutkan ke tengah laut,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai pelbagai agensi dan penduduk kampung segera ditubuhkan sejurus menerima maklumat berhubung insiden itu.
Katanya, setakat pukul 9 malam tadi, ketiga-tiga mangsa belum ditemui dan gerakan mencari masih diteruskan.
Difahamkan, tiga beradik dari Kelantan itu mengikut keluarganya bercuti di bandar ini dan menginap di sebuah inap desa berhampiran lokasi kejadian.
No comments:
Post a Comment