PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mudah meratah Persatuan Hoki Pulau Pinang-Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (PSHA-MSSPP) 13-0 pada aksi kedua Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.
Pemain import TLHT, Jaspreet Kaur dan pemain kebangsaan, Fatin Shafika Mohd. Shukri menunjukkan kehebatan apabila masing-masing meledak empat gol.
Jaspreet yang juga flicker dari India menghasilkan gol kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19, 34, 36 dan 41.
Fatin Shafika juga mencipta empat gol yang kesemuanya dihasilkan menerusi jaringan padang pada minit ke-6, 14, 20 dan 49.
Gol kedua tuan rumah dijaringkan oleh Siti Noor Amarina Ruhani yang juga pemain kebangsaan menerusi pukul sudut penalti pada minit ke-12.
Norul Ain Abd. Mutalib dan Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail pula menjaringkan gol keenam dan kelapan TLHT yang juga juara berganda 2017, masing-masing pada minit ke-26 dan 35.
Seorang lagi pemain kebangsaan, Nur Syafiqah Mohd. Zain dan import dari India, Man Meet Kaut melengkapkan aksi gemilang tuan rumah dengan gol ke-11 dan 13 yang dihasilkan menerusi jaringan padang pada minit ke-44 dan 59.
Jurulatih TLHT, Iman Gobinathan berkata, beliau berpuas hati dengan anak-anak buahnya yang berjaya merealisasi strategi pasukan dengan menghasilkan banyak gol pada aksi terbabit.
“Kita memerlukan kemenangan besar apabila menentang pasukan kerdil seperti PSHA-MSSPP untuk memberi kelebihan kepada kita dari segi perbezaan gol yang biasanya menjadi pemisah dan penentu kejuaraan pada penghujung liga nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment