Translate

Thursday, January 17, 2019

Muhammad Syukur terima kunjungan Menteri Pendidikan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Muhammad Syukur Khamis, 14, yang menjadi terkenal sekelip mata selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau menjadi tular di media sosial sejak minggu lalu mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini.

Maszlee mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini bagi menunjukkan penghargaan kepada Muhammad Syukur,  bapanya, Khamis Jusoh, 63,  dan Abdullah Mohd Zain, 44, yang merupakan jurugambar bertanggungjawab merakam gambar remaja itu yang tular terbabit.

"Saya bertemu Muhammad Syukur yang boleh dianggap sebagai 'Mowgli Malaysia' dan Por Hui Ling, 12 iaitu pelajar bukan Melayu dan Islam Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Nerus memperolehi 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa baru-baru ini.

"Kementerian Pendidikan berbangga dan bersyukur mempunyai pelajar-pelajar yang berbakat di negeri Terengganu ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Singgah Cakna di SMK Padang Midin di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Husin dan Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad.

Kosmo! 12 Januari lalu melaporkan Muhammad Syukur menjadi terkenal sekelip mata apabila gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau peliharaan memenangi anugerah 'Street/People Photographer of The Year Asian Geographic - Image of Asia 2018' dan 'Remarkable Award' di Siena International Photography Award 2018, Itali baru-baru ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment